Bulan Ramadan sudah tiba dan pada bulan yang mulia ini umat Islam dituntut untuk berpuasa selama sebulan. Selain berpuasa, kita juga dituntut melakukan pelbagai ibadah lain khususnya solat tarawih.

Bagaimanapun, sering juga kedengaran berita-berita tidak enak dalam media, sama ada cetak mahupun elektronik tentang kecederaan parah yang dialami oleh anak-anak atau golongan remaja akibat bermain mercun.

Kecederaan parah yang dialami hingga ke peringkat putus jari tangan. Inilah bahana bermain mercun yang akhirnya mangsa boleh menjadi seorang cacat sepanjang hidup. Justeru, ibu bapa perlu lebih berperanan dengan sentiasa mengingatkan anak-anak masing-masing tentang bahayanya mercun. Ibu bapa juga perlu lebih mengawasi gerak geri anak-anak bagi mengelakkan mereka bermain dengan bahan yang berbahaya itu.

Alangkah baiknya generasi anak-anak kita memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan aktiviti yang lebih berfaedah dan membawa kebaikan sama ada kepada diri sendiri serta masyarakat.

MUHD. SYAZWAN AMIR

Baling, Kedah

Sumber daripada :

http://m.utusan.com.my/rencana/forum/perlu-sedar-bahaya-mercun-1.343371